Laman Web Rasmi
Kementerian Perusahaan
Perladangan dan Komoditi
(MPIC)

A- A A+
Arial | PT Sans | Century

http://www.mynewshub.cc/terkini/6-anggota-parlimen-msia-akan-lobi-parlimen-eu/
Sumber: mynewshub

PUTRAJAYA – Enam anggota Parlimen Malaysia akan berlepas ke Eropah untuk melobi anggota Parlimen Kesatuan Eropah (EU) bagi minyak sawit pada bulan depan, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong.
Beliau berkata, nama keenam-enam anggota Parlimen berkenaan akan diumumkan kemudian dan mereka dijangka berlepas ke Eropah bulan depan, iaitu semasa Parlimen EU bersidang.
“Delegasi enam anggota Parlimen ini tidak melibatkan menteri dan timbalan menteri.
“Isu (minyak sawit) di EU adalah sangat serius dan kita berusaha bersungguh-sungguh (untuk melobi). Malaysia komited (untuk menangani isu itu) kerana EU merupakan penentu trend,” katanya kepada pemberita sebelum majlis berbuka puasa anjuran Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi di sini, hari ini.
Anggota Parlimen Malaysia perlu berada di Eropah semasa persidangan Parlimen EU supaya mereka boleh bertemu dengan seberapa ramai anggota parlimen itu.
Pada sidang media yang sama, Mah turut mengumumkan Ketua Setiausaha kementerian tersebut, Datuk M.Nagarajan yang akan bersara Jumaat ini akan menerajui kempen Malaysia dalam melobi EU, Amerika Syarikat dan negara lain bagi minyak sawit.
Beliau berkata, Nagarajan akan terus menjadi penasihat kepada kementerian memandangkan beliau berpengalaman luas khususnya dalam mengenepikan resolusi Parlimen Perancis sebanyak tiga kali yang merancang untuk menaikkan cukai import minyak kelapa sawit.
Sementara itu, sebelum ini Parlimen EU mengumumkan resolusi mahu menghalang penggunaan bahan api bio berasaskan kelapa sawit menjelang 2020.
Resolusi itu menyeru EU untuk tidak lagi menggunakan minyak sayur-sayuran, yang turut membabitkan minyak sawit, dalam biodiesel menjelang 2020 atas dakwaan ia dihasilkan melalui pemusnahan hutan. – BERNAMA

 

 


http://berita.rtm.gov.my/index.php/nasional/16924-pemilik-tanah-berminat-usahakan-tanaman-getah-boleh-kemukakan-permohonan-kepada-risda
Sumber: Berita.rtm.gov


YAN- Pemilik tanah di negeri ini yang berminat mengusahakan tanah mereka dengan tanaman getah, boleh mengemukakan permohonan kepada Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).
Anggota Lembaga Pengarah RISDA Datuk Azmi Che Husain berkata bagaimanapun agensi itu akan meneliti status tanah yang ingin ditanam dengan getah terlebih dahulu bagi mengelakkan timbulnya masalah dengan agensi lain yang berkaitan.
Beliau berkata kepada pemberita selepas mewakili Menteri Besar Kedah ke Majlis Penyampaian Bantuan Wang Ihsan Bencana Agromakanan Kepada Usahawantani Akibat Banjir Bulan Julai 2016, di perkarangan Pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) G-IV Guar Chempedak dekat sini.
Datuk Azmi berkata banjir besar yang berlaku  dari 18 hingga 19 Jun 2016, dipercayai berpunca daripada fenomena El-Nino, telah memusnahkan kawasan penanaman padi seluas 796.979 hektar.

 

Norjuliana Yaacob
http://www.sinarharian.com.my/edisi/utara/longgarkan-syarat-tanam-getah-1.689775
Sumber: Sinar Harian
 


Ahli Lembaga Pengarah Risda Holding, Datuk Azmi Che Husain menyampaikan replika cek kepada penerima.
GUAR CHEMPEDAK - Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) telah melonggarkan syarat tanaman getah bagi mereka yang berminat dan mempunyai tanah.
Ahli Lembaga Pengarah Risda Holding, Datuk Azmi Che Husain berkata, sebelum ini Risda menetapkan syarat yang agak ketat bagi mereka yang ingin menanam getah.
"Mereka yang berhajat untuk tanam semula getah perlu meninggalkan kesan tunggul tanaman lama supaya bantuan tanaman semula dapat diluluskan," katanya pada sidang media selepas majlis penyampaian bantuan wang ihsan bencana agromakanan kepada usahawantani akibat banjir Julai 2016 di Perkarangan Pertubuhan Peladang Kawasan G-IV Guar Chempedak, hari ini.
Katanya, syarat itu dilihat agak sukar serta membebankan dan Risda telah mengambil keputusan untuk mengubah dasar tersebut.
"Kini, syarat tersebut telah dilonggarkan dimana mereka yang ingin mendapat bantuan menanam semula getah hanya perlu mengemukakan permohonan dan Risda akan bantu.
"Kita nak mudahkan cara, namun begitu kelonggaran syarat ini juga memberi kesan sampingan kepada agensi lain seperti Jabatan Pertanian yang sedikit terjejas apabila ramai orang menjadikan tanah pertanian mereka sebagai tanaman getah," katanya.
Katanya, ada dalam kalangan rakyat yang menebang kesemua pokok pertanian seperti langsat dan durian hanya kerana untuk menanam getah.
Oleh itu, pihak Risda meletakkan syarat tambahan sekiranya tanah jenis pertanian yang ingin ditanam getah perlu mendapat sokongan Jabatan Pertanian terlebih dahulu.
Tambah Azmi, jenis bantuan yang diberikan kepada pekebun kecil ini ialah baja, biji benih dan juga wang tunai.
Hadir sama di majlis penyampaian sumbangan, Pengurus Besar Mada Datuk Fouzi Ali dan Pegawai Daerah Yan, Mohd Yusri Md. Daud.