Laman Web Rasmi
Kementerian Perusahaan
Perladangan dan Komoditi
(MPIC)

A- A A+
Arial | PT Sans | Century


http://www.hmetro.com.my/node/222347
Sumber: Harian Metro
 


Antara kenderaan di sebuah kediaman mewah yang dirampas dalam serbuan JSJK, semalam.
   

Kuala Lumpur: Untung bersih mencecah RM5,000 dalam tempoh 12 hari bagi jumlah pelaburan 10 tan metrik minyak sawit.
Itu antara pulangan menarik ditawarkan sindiket penipuan menggunakan nama Pelaburan Crude Plam Oil (CPO) yang didalangi dua beranak.
Bagaimanapun, kegiatan penipuan pelaburan yang didakwa berasaskan jual beli minyak sawit itu terhenti selepas polis menahan anak suspek utama yang juga pengasas syarikat berkenaan, kelmarin.
Suspek yang juga lelaki berusia 35 tahun dan memiliki kekayaan luar biasa itu ditahan di rumahnya di ibu negara. Dia berperanan sebagai pengendali syarikat pelaburan berkenaan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, tangkapan dibuat hasil maklumat awam serta risikan selepas pihaknya menerima 248 laporan berhubung kegiatan pelaburan terbabit.
“Siasatan awal mendapati, syarikat pelaburan yang aktif sejak tahun lalu mengutip wang pelaburan RM31 juta daripada orang ramai. Pada peringkat awal pelaburan, sindiket ada membuat pembayaran dividen kepada pelabur bagi meyakinkan dan menarik lebih ramai pelabur.
“Bagaimanapun, sebaik skim pelaburan ini berkembang, sindiket menutup operasi syarikat selain individu penting sindiket pelaburan melarikan diri,” katanya pada kenyataan, semalam.
Menurutnya, hasil serbuan, pihaknya merampas Lamborghini Avantador, Porsche Panamera dan dua motosikal berkuasa tinggi iaitu Harley Davidson dan BMW GS R1200 selain geran tanah.
“Suspek direman empat hari sehingga Khamis ini untuk disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
“Selain itu, siasatan turut dijalankan mengikut Akta pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001,” katanya.
Sehubungan itu, Acryl menasihati orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak menjadi mangsa kepada pelaburan seperti ini.
Katanya, sebarang bentuk tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan dalam tempoh singkat perlu disemak dengan agensi berkaitan untuk memastikan kesahihannya.